PELAKON Hollywood terkenal Bruce Willis disahkan menghidap demensia 'frontotemporal'.

Dalam satu kenyataan oleh keluarganya di media sosial, mereka memaklumkan berasa "lega setelah akhirnya beroleh diagnosis yang jelas".

Pelakon berusia 67 tahun itu sebelum ini disahkan menghidap afasia yang menyebabkan kesukaran bercakap pada musim bunga tahun lalu.

Namun penyakit itu kini telah merebak dan diberi diagnosis yang lebih spesifik, umum kenyataan keluarga Willis.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa demensia frontotemporal adalah yang paling biasa pada mereka yang berusia di bawah 60 tahun.

"Setakat ini tiada rawatan untuk penyakit itu, satu realiti yang kami harap boleh berubah pada tahun-tahun akan datang," kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu ditandatangani ahli keluarga Willis termasuk isterinya Emma Heming, bekas isteri Demi Moore, dan lima anak perempuannya.

Willis terkenal pada era 1980-an dan 90-an selepas membintangi filem blockbuster seperti "Die Hard", "The Sixth Sense", "Armageddon" dan "Pulp Fiction".

Dia juga telah dicalonkan untuk lima anugerah Golden Globe di mana dia berjaya memenangi satu anugerah untuk siri televisyen "Moonlighting".

Beliau juga memenangi dua daripada tiga pencalonan anugerah Emmy.

Menurut laman web NHS UK, demensia frontotemporal adalah satu bentuk penyakit yang menyebabkan penghidap mengalami masalah tingkah laku dan pertuturan.

Gejala termasuk pergerakan perlahan atau kaku, kehilangan kawalan pundi kencing atau usus, dan kelemahan otot.